Kehidupan dan kerjaya Khalid_Salleh

Memegang watak sebagai Mamat dalam Jogho.

Khalid dilahirkan pada 29 Februari 1948 di Kajang, Selangor dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor. Bapanya, Haji Salleh Shafie merupakan seorang penggiat bangsawan, Khalid tidak pernah menjalani pendidikan formal dalam perjalanannya menjadi seorang seniman. Sewaktu masih di sekolah rendah dan menetap di Parit Yaani, sebuah pekan kecil di daerah itu, beliau menulis dan mengarah teater pertamanya dan dipentaskan untuk tabung pembinaan sekolah rakyat, yang kekal sehingga kini menjadi sekolah kerajaan. Teater berjudul Hang Tuah dipentaskan dengan inisiatifnya yang bersama rakan-rakan mengumpulkan tenaga orang kampung tidak kira tua atau muda untuk bersama menjayakan usaha itu. Khalid mementaskannya selama sembilan malam dan kutipannya diserahkan untuk pembinaan bangunan sekolah baharu menggantikan bangunan sekolah lama yang sudah usang. Sekolah itu diberi nama Sekolah Tenaga Sepakat dan kekal hingga hari ini sebagai Sekolah Kebangsaan Tenaga Sepakat.[2]

Khalid kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur ketika masih bersekolah dan menjalani pelbagai jenis pekerjaan bagi menyara hidup di bandar. Bermula dengan mengikut kerja kontrak pembinaan sehingga ke Singapura, mencuci batu nisan Cina, kemudian menjadi kerani pejabat, tukang masak di kelab golf dan pelbagai lagi sehinggalah akhirnya memutuskan untuk menjual ubat maajun yang diusahakan turun-temurun oleh keluarga Jawanya dengan nama Pak Tani. Menurut ceritanya, beliau meminta izin dan menyatakan hasratnya untuk menjual ubat di Jalan Benteng. Bapanya membalas dengan berkata, "Juallah kalau kau berani." Bermula dari itulah, Khalid kembali bermain pentas sebagai caranya menjual maajun.

Ketika adegan jual ubat berada di puncaknya sekitar era 70-an di Kuala Lumpur, Khalid muncul sebagai susuk yang cukup mendominasi persiaran Jalan Benteng (kini sekitar Stesen LRT Masjid Jamek) yang menjadi gelanggang jualan para penjual dari segenap pelosok negara yang datang menjual pelbagai jenis rupa bentuk ubat untuk merawat segala penyakit. Khalid tampil dengan pendekatan teaterikal, membuka persoalan tentang kehidupan yang diilhamkan daripada apa sahaja yang mengusik akalnya di sekelilingnya. Penyair istimewa, Pyan Habib merupakan rakan rapatnya ketika itu yang mengiringi dan saling membantu menjayakan usaha masing-masing. Malah, bapa Khalid juga terdahulu sudah lama menjadi terkenal di sekitar Wisma Yakin, Jalan Masjid India yang turut menjadi tumpuan penjual ubat. Sehingga Khalid digelar "anak singa" oleh rakan-rakan dan kenalan penjual ubat di Jalan Benteng.

Hampir setiap malam, beliau berupaya menarik hampir sesiapa sahaja yang melewati kawasan itu apatah lagi yang hadir untuk membeli ubat atau semata-mata mahu melihat aksi para penjual. Lain malam, lain isu yang dikupasnya, menggamit ramai khalayak mengerumuni gelanggang jual ubatnya. Persembahannya ada kala sejam, ada yang sampai enam jam namun masih ramai yang terus menanti mendengar hujah-hujahnya. Ada kalanya dia seorang sahaja yang bercerita, ada juga yang mengajak keterlibatan para penonton. Akhir persembahannya pasti akan dihubungkaitkan dengan pemakanan yang sihat, secara halus mempromosikan maajun jualannya. Selain di Jalan Benteng, Khalid juga menjelajah ke serata Nusantara termasuk tanah seberang, Indonesia dan Singapura untuk menjual produk maajunnya.

Kerjaya pentas

Bakat semula jadinya yang diperlihat di kaki lima itu menambat hati pengarah teater, ʽKrishen Jitʼ yang memancing Khalid untuk menterjemah sentuhannya di atas pentas dengan memainkan peranan dalam Bukan Bunuh Diri, satu daripada pementasan Tiga Teater Karya Dinsman iaitu Ana, Bukan Bunuh Diri, Di Pulau Sa dan Di pada Jun 1977. Tokoh penulisan dan seni pentas, Tan Sri Johan Jaafar, yang merupakan antara penonton setia Khalid di Jalan Benteng, menyifatkan bahawa interpretasi baharu Khalid membawa watak Adam dalam naskhah itu sebagai "sempurna". Naskhah monolog itu pernah dipentaskan Dinsman beberapa kali, malah meraih anugerah Pengarah Terbaik dalam pertandingan teater anjuran Kementerian Belia dan Kebudayaan pada 1975. Namun, Johan dalam ulasannya yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan Ogos 1977 mengatakan bahawa persembahan Khalid lebih baik daripada penulis naskhah itu sendiri iaitu Dinsman.

Dari situ bermulanya juga hubungan Khalid dengan kumpulan pada seniman terdiri daripada para penulis, pelukis, penyair, penggiat seni pentas dan jurugambar yang menggelarkan diri mereka Anak Alam sehingga menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Bersama Anak Alam, banyak kegiatan kesenian dan kemasyarakatan digerakkan sambil sekali sekala diselangi kerjanya menjual ubat ke sini sana.

Teaternya bertajuk ...Ning turut membawa Khalid ke Festival Monodrama di Taiwan pada 1989, Jepun pada 1991, Kolkata (1994) dan Delhi (1995). Antara teater yang pernah dipentaskan Khalid di bawah karya dan arahannya ialah Gong Gedombak, Umbut Mayang Mengurai, Sijil Penuh, Kena Main, Brangg, Brengg, Brongg, Hang Tak Tuah, Jejak Pahlawan, Benda Sulit, Gombal, Walinong Sari dan beberapa lagi. Teater Kena Main juga pernah diterjemahkan kepada telefilem dengan tajuk yang sama dan dipentaskan tiga kali, terbaharu pada 2015 di Istana Budaya. Pementasan itu juga menjadi pementasan terakhir buatnya sebelum mula mengalami masalah kesihatan pada 2017.

Pada 2013, Khalid hadir dengan teater monolog Jual Ubat dan dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), beliau membawa "ubatnya" menjelajah serata Malaysia, Singapura, dan serata pelosok Indonesia antaranya di Medan, Jakarta, Surabaya, dan Makassar. Di Indonesia, teaternya mendapat jemputan dan sambutan menggalakkan daripada khalayak pesantren (sekolah pondok), sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Ia juga pernah dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 2014.

Teater monolog ini dilihat sebagai penceritaaan kesimpulan kehidupan dan pemikiran seorang penjual ubat, subjek yang sebenarnya sebahagian daripada kehidupannya. Ubat yang dijual bukan sekadar yang fizikal untuk dimakan, diminum atau disapu pada tubuh, tetapi "ubat" yang sebenarnya ialah nasihat, peringatan dan rangsangan semangat untuk penyakit jiwa, celotehnya mengupas satu persatu persoalan kehidupan, menyedarkan para penonton dan pelanggannya supaya kembali ke reda Tuhan. Khalid ialah pemerhati yang menyaksikan kehidupan segolongan kecil manusia penjual ubat. Dan dalam tafakur dan taakulannya, dia merumuskan sesuatu tentang hidup; bermula daripada asal kejadian sehingga ke akhirnya. Daripada sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang tasawuf dan hakikat manusia dalam persembahannya.[3]

Kerjaya filem

Kehalusan lakonan Khalid kemudian menarik perhatian pengarah filem, U-Wei Hj Saari. Menurut U-Wei, beliau mengenali nama Khalid Salleh daripada ibunya ketika sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. "Selama 14 tahun saya belajar di Amerika Syarikat, emak kata kalau dia rindukan saya, dia akan tengok drama lakonan Khalid untuk mengubat kerinduannya," kata U-Wei.

Filem yang pada asalnya mahu diterbitkan sebagai telefilem namun akhirnya ke layar perak, Kaki Bakar ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 1995 di bawah kategori Un Certain Regard dan pada tahun 1996 filem ini menerima hadiah tertinggi Festival Filem Belgium.

Beliau merupakan pemegang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Jogho, dan Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Azizah The Legend.

[4]

Karya penulisan

Naskhah yang dipercayai buku pertama ditulis Khalid berjudul Kafir Mengkafir, Siapa Yang Kafir? diterbitkan pada 1986, mengupas tentang polemik golongan agama yang merasakan diri "maha benar" sehingga melihat pihak lain yang bertentangan dengan ideologi mereka adalah salah tanpa wujud ruang perbincangan untuk mencari titik persamaan. Buku tersebut dilihat dibaca oleh watak Bujang yang dilakonkan oleh penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986). Naskhah itu telah mencetuskan kontroversi sejak diterbitkan dan dijual kepada khalayak sebelum ia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1988.

Puisi beliau telah diterbitkan dalam antologi puisi Bukan Apa Apa (1998) dan Kalau Aku Jadi PM (2014).[5] Pada 2011, beliau menerbitkan buku refleksi mengenai sejarah dan hubung kaitnya dengan sosio-budaya dan sosio-politik negara bertajuk Melayu Hilang Di Dunia.[6][7]

Tidak kurang banyaknya sajak-sajak Khalid yang tidak diterbitkan, juga karya penulisan lain antaranya sebuah buku berjudul Persiapan Seorang Pelakon yang ditulis dengan tangan namun tidak sempat disiapkannya.

Rujukan

WikiPedia: Khalid_Salleh http://www.astroawani.com/berita-hiburan/khalid-sa... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelakon-... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.imdb.com/name/nm0758545/ http://www.kosmo.com.my/hiburan/akhir-8216-kalam-8... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://ww1.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131208/h... http://www.utusan.com.my/hiburan/saya-sihat-sahaja... http://web.archive.org/web/20180723143136/http://w... http://web.archive.org/web/20180723143139/http://w...